Mukim Liang, Belait, 12 Februari 2022 – Majlis Pengundian dan
Pemilihan Calon Ketua Kampung Sungai Liang telah diadakan secara pandu lalu
(drive-thru) pada hari ini bertempat di Dewan Serbaguna SPARK, Mukim Liang,
Daerah Belait.
Pengundian pada hari
ini menggunakan kaedah tablet (offline voting) dan kertas undi (ballot papers).
Manakala, pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula
pada hari Jumaat, 11 Februari 2022 pada jam 8.00 pagi.
Hadir di Majlis
tersebut ialah Yang Mulia, Awang Mohamad Yassin bin Haji
Ahmed, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat
Negara, Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang, Dayang
Jaimah binti Tuah, Ketua Bahagian Kuasa Tempatan dan Perpaduan (Daerah),
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Belait dan
Pemangku Ketua-Ketua Kampung di bawah Mukim Liang, Daerah Belait.
Majlis dimulakan
dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Md Ikhwan bin Irwandy, Imam Masjid Kg Sg
Liang, Daerah Belait. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Pengerusi-Pengerusi
Bersama Majlis, Yang Mulia Awang Mohamad Yassin
bin Haji Ahmed, Pemangku Pegawai Daerah Belait dan Yang Berhormat Awang
Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu
Mukim Liang.
Calon tunggal yang
layak bagi jawatan Ketua Kampung Sungai Liang ialah Awang Mohammad Haszrin Bin
Bagol berusia 34 tahun yang merupakan graduan Sarjana Muda (Usuluddin) dari
Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA). Beliau pernah menjadi Pelapis Bilal di
Masjid Kampung Sungai Liang dan beliau berkebolehan mengetuai dalam acara-acara
keagamaan dan kemasyarakatan.
Seramai 140 orang penduduk kampung daripada seramai 193 orang
yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi calon untuk mengisikan
kekosongan jawatan Ketua Kampung Sungai Liang. Dimana 22 orang (11.4 %) telah
mengundi menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK dan 118 orang (61.1 %)
menggunakan kertas undi (ballot paper). Daripada jumlah yang telah mengundi
tersebut, seramai 70 orang bersetuju dan 67 orang tidak bersetuju, manakala sebanyak
3 undi rosak.
Keputusan pengundian yang
diperolehi akan dibawa dan digunakan dalam menyediakan sokongan yang mana seterusnya
dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua
Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses yang selanjutnya.