Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

UPACARA MENAIKKAN BENDERA KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-40 BAGI DAERAH BELAIT TAHUN 2024

​.



Kuala Belait, 16 Februari 2024 – Upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40 Tahun Bagi Daerah Belait diadakan di Taman Persiaran Cendera Kenangan, Jalan Sungai, Kuala Belait. Hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Haji Amirol Hafidzin bin Haj Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Belait.

Majlis dimulakan dengan kehadiran pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam yang disambut oleh penuntut yang memegang bendera terdiri dari pasukan kadet dan pengakap dari Pusat Tingkatan Enam Belait, Sekolah Menengah Perdana Wazir, Sekolah Menengah Penginran Jaya Negara Pengiran Haj Abu Bakar, Maktab Anthony Abel dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah.

Sebaik sahaja pembawa bendera tiba, bacaan Surah Al-Fatihah dan Bacaan Doa Selamat diketuai oleh Awang Akup bin Haji Lamat, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait.

Pemangku Pegawai Daerah Belait seterusnya menyerahkan Bendera kepada Pasukan Polis Diraja Brunei Cawangan Kuala Belait untuk dikibarkan. Upacara Menaikkan Bendera diiringi dengan Lagu “Allah Peliharakan Sultan". Selepas bendera dikibarkan persembahan lagu “Bendera Negara" dan “Berkibarlah Bendera" dipersembahkan oleh Kumpulan Koir dari Pusat Tingkatan Enam Belait.

Selesai sahaja persembahan, Pemangku Pegawai Daerah Belait menyerahkan bendera-bendera Negara Brunei Darussalam kepada Penghulu-Penghlu dan Pemangku-Pemangku Penghulu Mukim di Daerah Belait serta wakil dari persatuan-persatuan untuk dikibarkan.

 Salah satu peranan dan tanggungjawab rakyat dan penduduk Negara ini secara individu dalam sama-sama meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ialah mengibarkan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di halaman rumah masing-masing, iaitu sebagai simbol patriotik kepada negara dan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menurunkannya mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.

Hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ketua-Ketua Jabatan dan Cawangan Daerah Belait, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung, pihak-pihak Swasta serta Ahli-Ahli Persatuan.

Bendera yang dikibarkan ini akan diturunkan pada Hari Ahad, 25 Februari 2024.


Created at 08/08/2024 16:03 by rushdi.jahis
Last modified at 08/08/2024 16:03 by rushdi.jahis