Kuala Belait, 06 Disember 2023 – Program Ceramah Majlis Ilmu 2023 Di Daerah Belait Sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Daussalam Ke-77 Tahun 2023 telah diadakan pada hari ini di Dewan Serbaguna Pusat Insani, Seria.
Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat, Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Hadir sama ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pegawai-Pegawai Kanan dan Ketua-Ketua Jabatan, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, pihak-pihak swasta, persatuan-persatuan serta ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.
Majlis diisi dengan ceramah yang bertajuk “Munajat dan Taubat Membentuk Iman Taqwa" yang disampaikan oleh Yang Mulia, Haji Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud, Pegawai Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ugama) Malaysia. Ceramah tersebut disudahi dengan sesi soal jawab.