Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

MAJLIS PENGUNDIAN DAN PEMILIHAN CALON KETUA KAMPUNG MUMONG C, MUKIM KUALA BELAIT DAN KAMPUNG PERUMAHAN NEGARA PANAGA A, MUKIM SERIA, DAERAH BELAIT

​.

Kuala Belait, 22 Oktober 2023 – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Mumong C, Mukim Kuala Belait dan Ketua Kampung Perumahan Panaga A, Mukim Seria telah diadakan hari ini bertempat di Pusat Tingkatan Enam, Kuala Belait, Daerah Belait.

 

Pengundian pada hari ini menggunakan kaedah kertas undi (ballot papers). Manakala, pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada hari Jumaat, 24 November 2023 pada jam 08.00 pagi.

 

Hadir di Majlis tersebut ialah Yang Mulia, Haji Amirol Haidzin bin Haji Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Yang Berhormat Awang Haji Md Salleh bin Haji Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Mulia, Mohammad Khairol bin Haji Bakar, wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Belait, Penghulu Mukim Kuala Belait dan Pemangku Penghulu Mukim Seria serta Pemangku Ketua-Ketua Kampung di Mukim Kuala Belait dan Mukim Seria, Daerah Belait.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Yang Mulia, Awang Haji Noor Azhar bin Haji Harith, Imam Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Belait.

 

Calon tunggal yang layak bagi jawatan Ketua Kampung Mumong C, Mukim Kuala Belait ialah Yang Mulia Awang Abdul Rahman Amin bin Jalani, berusia 39 tahun. Beliau berkelulusan Pre-National Diploma in Computer Studies dan Sijil Am Pelajaran Peringkat Biasa ('O' Level). Pada masa ini beliau berkerja sebagai Pengurus Operasi di Syarikat Swift Track Technologies.

 

Manakala calon tunggal yang layak bagi jawatan Ketua Kampung Perumahan Negara Panaga A, Mukim Seria ialah Yang Mulia Awang Muhammad Nurzairie bin Abdullah Peter, berusia 49 tahun. Beliau berkelulusan National Diploma in Refrigeration and Airconditioning Engineering dan bertugas sebagai Pembantu Teknik Kanan di Jabatan Daerah Belait.

 

Keputusan-keputusan pengundian yang diperolehi akan dibawa dan digunakan dalam menyediakan sokongan yang mana seterusnya dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses yang selanjutnya.


Created at 08/08/2024 15:02 by rushdi.jahis
Last modified at 08/08/2024 15:02 by rushdi.jahis