BUKIT SAWAT, BELAIT - Selasa 17 Disember – Pusat Operasi Bencana Daerah (DEOC), Daerah Belait hari ini menyampaikan sumbangan kepada 17 buah keluarga yang tinggal di 13 buah rumah terjejes oleh banjir di kawasan pedalaman iaitu Kampung Sungai Mau, Jalan Kandul, Jalan Laid Lakang dan Kampung Merangking Hilir, di Mukim Bukit Sawat.
Sumbangan yang diserahkan berupa catuan makanan seperti beras, minyak masak, makanan tin, susu dan air botol minuman.
Pengendalian pengagihan barang-barang bantuan dikendalikan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat Cawangan Daerah Belait, dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait serta Pasukan Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi B Daerah Belait.
Penyerahan bantuan ini adalah sejajar dengan usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memeduli kebajikan dan kesejahteraan sosial masyarakat terutama semasa menghadapi banjir.

Disediakan Oleh:
Bahagian Perhubungan Awam, Teknologi Maklumat dan Penyelidikan
Jabatan Daerah Belait
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri