Kuala Belait, Sabtu, 17 November 2018 – Rombongan Dikir Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) Dan Jabatan-Jabatan Dibawahnya hari in mengadakan Majlis Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallalahu 'Alaihi Wassalam ke Daerah Belait. Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia, Awang Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Majlis dikir ini adalah Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam bagi tahun 1440H/2018M dan ianya diadakan di Masjid Kampung Sungai Liang, Mukim Liang.
Sebaik saja selesai Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, Majlis Dikir dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Tetamu Kehormat.
Majlis diteruskan dengan dikir Assalamualaika yang disampaikan oleh Takmir Masjid Sungai Liang dan disusuli dengan dikir Bisyahrin oleh Jabatan Buruh, dan dikir Alhamd oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.
Majlis disudahi dengan bacaan dikir Marhaban beramai-ramai dan seterusnya bacaan Doa Dikir dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum Sembahyang Isyak Berjemaah.
Rombongan dikir KHEDN juga telah mengadakan majlis seumpama ini di beberapa masjid yang terpilih di seluruh daerah bagi sama-sama memakmurkan dan mengimarahkan masjid disamping memperbanyakkan dikir dan selawat keatas Nabi Muhammad Sallalahu 'Alaihi Wassalam.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin, Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pegawai-Pegawai Kanan KHEDN, Ketua-Ketua Jabatan di bawah KHEDN dan Cawangan di Daerah Belait, pegawai dan kakitangan di KHEDN, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung serta Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.

