Hadir selaku menyaksikan upacara penurunan bendera tersebut ialah Yang Mulia, Abdol Hazis bin Haji Ahad, Pemangku Pegawai Daerah Belait. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Muki Liang, Ketua-Ketua Jabatan dan Cawangan Daerah Belait, Penghulu-Penghlu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung, Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, wakil-wakil dari pihak swasta dan wakil dari persatuan-persatuan.
Upacara dimulakan dengan pasukan Pengibar Bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota-anggota Pasukan Polis Di Raja Brunei yang akan menurunkan bendera.
Kemudian nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam "Allah Peliharakan Sultan" dinyanyikan oleh Kumpulan Koir Wardah 2.0 dari Mukim Seria, juara Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Antara Mukim-mukim di Daerah Belait bagi Program Semarak Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam Negara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 Tahun anjuran Jabatan Penerangan

Selepas menyanyikan lagu kebangsaan, bendera diturunkan oleh Pasukan Pengibar Bendera dan diserahkan kepada Pemangku Pegawai Daerah Belait untuk disimpan.
Majlis disudahi dengan Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Imam Haji Alias bin Bakar, Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Dengan adanya majlis tersebut menandakan bahawa aturcara sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berakhir. Orang ramai hendaklah menurunkan bendera mereka mulai dari hari ini dan hendaklah melipatnya dengan kemas serta menyimpannya ditempat yang bersesuaian.